Pelajar terbaik tahun ini untuk pelajar dan kesihatan seksual sekolah....


Remaja merupakan pemangkin masa hadapan negara. Betapa besarnya tanggungjawab remaja adalah setanding cabaran remaja masa kini yang semakin sukar dalam menetapkan personaliti dan pendirian ke arah yang lebih baik berpandukan norma-norma masyarakat setempat. Dilihat kepada erti remaja itu sendiri, remaja merupakan satu peringkat ke arah proses membesar menjadi individu yang lebih matang serta mempunyai sikap yang positif dalam pergaulan masyarakat seperti dewasa. Semestinya dalam peringkat ini mereka mengalami perubahan dari sudut mental, fizikal, emosi dan personaliti hasil daripada interaksi sosial dan genetik mereka sendiri. Oleh itu, faktor-faktor persekitaran sangat memainkan peranan penting terutamanya pengaruh rakan sebaya dan sistem sosial dalam masyarakat, didikan agama, asuhan dan gaya hidup. Salah satu aspek yang perlu diketahui dan dipelajari dalam meniti tahap perkembangan remaja adalah kesihatan seksual dan reproduktif mereka.


Pihak komuniti setempat yang memberikan sokongan padu dalam memperkasakan program Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja ini sangat dihargai dan kepentingan program sebegini tidak dapat disangkalkan terutamanya pada era millennium yang penuh dengan cabaran khususnya kepada anak remaja di ibu kota Kuala Lumpur. Pendekatan terkini yang menarik minat dan perhatian remaja juga diketengahkan seperti pertunjukan video berkaitan kehamilan remaja serta gambar-gambar berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif selain ceramah berkenaan perkembangan remaja dan isu terkini menjadikan program ini mendapat maklum balas yang positif daripada para peserta. Semestinya pihak penganjur menyediakan sistem audio terbaik agar setiap informasi yang disampaikan tersemat di jiwa para peserta yang terlibat.

Pendidikan seksual di Malaysia pada awalnya mendapat kritikan hebat oleh segelintir masyarakat. Namun kepentingan pendidikan ini dilihat relevan dengan peningkatan aktiviti seksual remaja akibat tercetusnya paradigma media sosial dan internet dunia tanpa sempadan pada hari ini. Oleh itu, ahli The Malaysian Care for Adolescent Project (MyCAP) dan UMCares dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur telah membina satu program Kesihatan Seksual dan Reproduktif untuk para remaja di sekitar Kuala Lumpur yang melibatkan pakar kesihatan awam dan psikologis dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan dari Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Program pertama telah dijalankan kepada remaja di Flat Bandaraya (DBKL) Kg. Kerinchi, Kuala Lumpur dan program ini bertujuan mempromosikan kesedaran, mempertingkatkan ilmu tentang kepentingan kesihatan seksual dan reproduktif remaja, dan memperbaiki sikap dan amalan. Selain itu, program ini juga bertujuan memberikan khidmat nasihat dalam pemilihan cara yang terbaik menangani isu kesihatan seksual dan reproduktif remaja. Program ini juga secara tidak langsung memberi kesedaran kepada ibu bapa dan penjaga tentang kepentingan dan peranan mereka dalam membesarkan anak remaja.


Program komuniti ini diteruskan dengan melibatkan awal remaja berumur 11 dan 12 tahun dari kawasan sekitar dan memfokuskan kepada perbincangan tentang proses akil baligh. Perbincangan berkumpulan ini dipisahkan antara lelaki dan perempuan dalam kumpulan yang berbeza agar mereka lebih selesa bertanyakan hal-hal berkaitan akil baligh yang sedang dialami. Modul akil baligh ini membincangkan tentang perubahan yang dialami dalam proses akil baligh seperti proses menstruasi bagi perempuan dan mimpi basah bagi lelaki serta cara menanganinya. Mereka dibekalkan dengan pamplet berkaitan remaja dan HIV/AIDS sebagai bahan bacaan tambahan dan rujukan.

Program Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja ini akan diteruskan sejajar dengan matlamat memperkasakannya agar semakin ramai remaja mendapat impak yang sama dengan para peserta yang telah terlibat. Program ini akan diperluaskan dengan penglibatan pelajar sekolah, guru dan ibu bapa di sekitar Kuala Lumpur. Tambahan lagi, disebabkan internet telah menjadi medium yang paling diminati dan menjadi pilihan bagi membincangkan tentang kesihatan seksual dan reproduktif, satu laman web telah dibina oleh ahli projek MyCAP bagi memperluaskan kepentingan pengetahuan ini kepada semua pihak khusunya remaja mencari maklumat dan berkongsi masalah dengan melayari laman web beralamat www.myadolescenthealth.org. agar manfaatnya dapat dikongsikan bersama-sama.