Rogol Dan Pukul Isteri Ketiganya Sehingga Mati



PUKUL SUSPEK ROGOL ISTERI HINGGA MATI
Sabak Bernam: Seorang suami ditahan selepas dipercayai memukul sehingga mati lelaki disyaki merogol isteri ketiganya di Sungai Besar, dekat sini, Ahad lalu.
Polis juga menahan dua anaknya serta seorang anak angkat berusia lingkungan 20 hingga 23 tahun bagi membantu siasatan.

Mangsa yang berusia 27 tahun itu, dipercayai masuk ke rumah lelaki berkenaan dan merogol isteri ketiganya dua kali antara 3 pagi hingga 5.30 pagi, Jumaat lalu.

Ketika itu suami kepada wanita itu tidur bersama isteri keempatnya di tingkat atas, manakala isteri ketiganya di bilik berasingan di tingkat bawah rumah.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suami wanita itu yang berusia 52 tahun kemudian menemui lelaki terbabit berhampiran stesen minyak kira-kira 1 pagi Ahad lalu.

Beliau berkata, suami dan anak lelakinya menumbuk serta memukul mangsa menggunakan getah paip malah mangsa turut dibawa pulang ke rumah lelaki itu.

Menurutnya, di rumah berkenaan mangsa dikurung dalam bilik dengan kaki diikat menggunakan tali getah sebelum dipukul lagi dengan getah paip sambil disaksikan keluarganya.

Nor Azmi berkata, seorang daripada anak lelaki itu menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian rogol membabitkan ibu tirinya yang berusia 25 tahun.

"Polis kemudian ke rumah suspek dan membawa mangsa ke Balai Polis Sungai Besar.

"Ketika anggota Unit Peronda membawanya ke balai polis, mangsa masih hidup namun ketika polis mengambil keterangan mangsa pada 3.45 pagi hari sama, lelaki itu tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kempat-empat suspek ditahan reman sehingga 23 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan kes rogol mengikut Seksyen 376 KK.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:56 PM\