Olimpik: Aksi kesilapan penerjun negara disaat acara terjun di Pusat Akuatik


Penerjun negara, Jun Hoong Cheong (bawah) dan Nur Dhabitah Sabri melakukan penerjunan dalam acara 3 meter papan anjal serentak wanita di Pusat Akuatik Lenk Maria, pagi tadi. - Foto EPA RIO DE JANEIRO: Kesilapan dalam terjunan keempat menyebabkan gandingan penerjun negara, Cheong Jun Hoong-Nur Dhabitah Sabri kempunan pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal serentak wanita di Pusat Akuatik Lenk Maria, pagi tadi. Pasangan itu sudah berada dalam kedudukan ketiga selepas tiga terjunan namun kegagalan mengekalkan konsisten dalam terjunan keempat menyebabkan mereka terpaksa menggigit jari.

"Mungkin ini bukan rezeki kami. Kami sudah cuba melakukan yang terbaik dan kami harus menerimanya," kata Dhabitah. Pasangan itu mendapat 49.80 mata dalam terjunan pertama, 47.40 (kedua) dan 71.10 (ketiga) untuk berada dalam posisi pingat gangsa tetapi mereka melakukan kesilapan dalam terjunan keempat apabila hanya mendapat 60.30 mata menyebabkan kedudukan tempat ketiga mereka dirampas pasangan Kanada, Jennifer Abel-Ware Pamela.

Bagaimanapun, mereka bangkit memperkemaskan terjunan pada terjunan terakhir dengan mengumpul 64.80 mata tetapi ia sudah terlewat dan kesudahannya mereka menamatkan saingan di tangga kelima. Pingat emas acara itu dimenangi pasangan China, Shi Ting Mao-Wu Min Xia yang berada dalam kelas tersendiri apabila mengumpul 345.60 mata. Gandingan Itali, Tania Cagnotto-Francesca Dallape pula meraih perak dengan 313.83 mata. Pasangan Australia, Maddison Keeney-Anabelle Smith yang bangkit dalam terjunan terakhir untuk menghimpun 299.19 mata meraih gangsa.