Sidang media pelakon Adi Putra bagi menjelaskan perkahwinan keduanya dengan janda anak satu pada Isnin bertukar panas apabila muncul bekas adik ipar isteri pelakon itu.
Wanita yang dikenali sebagai Nur Farah Ilyana, bangun bertanyakan soalan tindakan Adi memburukkan abangnya selain mendedahkan nombor telefon bimbit lelaki dikenali sebagai Raziman itu di laman sosial Instagram miliknya baru-baru ini.
Nur Farah turut menjelaskan abangnya itu tidak pernah memuat naik sebarang luahan perasaan yang mendakwa bekas isterinya itu meninggalkan dia kerana Adi seperti mana tersebar di laman sosial sebelum ini.
Kehadiran saya pada majlis ini cuma ingin menjelaskan abang saya tidak pernah membuat sebarang status untuk memviralkan luahan perasaan di Facebook mengenai rumah tangganya bagi mencari simpati atau publisiti seperti mana yang tersebar sebelum ini
“Saya cuma ingin bertanya apakah motif Adi pula menyebarkan nombor telefon abang saya itu di Instagram? Tindakan itu telah memberi tekanan kepada abang saya kerana ramai yang menelefon dan menggangunya,” kata wanita itu
Adi bagaimanapun tenang mendengar soalan daripada wanita berkenaan namun memberikan jawapan kurang jelas terhadap tindakannya itu.
“Adik mungkin lebih kenal abang sendiri dan ia mungkin mengaibkan dia pula.
“Saya tidak menyalahkannya dan jika benar dia difitnah ia sepatutnya dijelaskan kerana dia tidak bersalah.
“Kehadiran saya pada hari ini juga bukan untuk berdebat tetapi ingin memberi penjelasan pihak saya sahaja,” katanya.
Sementara itu, Nur Farah ketika ditemui selepas selesai sidang media berkenaan menjelaskan dia tidak berniat untuk membuat kecoh sebaliknya hanya ingin menjelaskan perkara sebenar tentang abangnya.
Bagaimanapun Adi meminta pihak media tidak meneruskan temubual bersama Nur Farah kerana wanita berkenaan tidak bersalah sebelum memintanya meninggalkan majlis.